من الأيات القرآن الكريمة
Jom Dengar Al Quran
MaCaM MaCaM BloG

Dapatkan animasi di Sini
KAMI RINDUKANMU, KEKASIH ALLAH YA RASULULLAH

Jom Ikut Mee Udang....

Monday, January 17, 2011

Makanan alergi bagi kanak-kanak




Terdapat banyak kekeliruan tentang bilakah selamat untuk memperkenalkan sesuatu makanan untuk bayi. Ibu yang mula memperkenalkan pepejal awal kepada bayi mereka sering mendengar rayuan menderu-deru “telur tak boleh, kacang tak boleh, buah sitrus tak boleh, gandum tak boleh, kismis tak boleh, kiwi tak boleh”, dan senarai pantang larang ini kian bertambah. Kadang-kala nasihat yang diberikan khusus untuk bayi yang mempunyai kesulitan tertentu, contohnya, bayi dari keluarga yang mempunyai sejarah alergi yang ketara, langsung diterima dan digunapakai untuk semua bayi. Jika keluarga anda menghidapi penyakit asma, ekzema atau alergi makanan, adalah baik jika anda berbincang dengan doktor keluarga untuk mengetahui sama ada bayi anda perlu mengelakkan makanan tertentu untuk masa yang lebih panjang.

Kementerian Kesihatan mengesyorkan penyusuan badan selama enam bulan. Bacalah artikel kami tentang memperkenalkan pepejal untuk maklumat lanjut.

Jika anda memilih untuk memperkenalkan pepejal lebih awal dari enam bulan setelah berbincang dengan doktor anda, ada sebilangan makanan yang anda patut elak sebelum usia enam bulan. Bacalah artikel di sini untuk maklumat tepat supaya boleh membezakan antara fakta dan dongeng.

Gandum, oat dan lain makanan mengandungi gluten

Risiko dijangkiti penyakit seliak berkurangan jika anda menghindarkan dari mengambil makanan mengandungi gluten, seperti gandum, gandum hitam dan makanan berasaskan barli. Ini termasuk roti, tepung gandum, pasta, sesetengah bijirin sarapan dan biskut rusk sehingga usia enam bulan. Oat elok dielakkan juga, sebab ia mungkin diproses di kilang yang juga memproses gandum.

Telur

Telur masak boleh dimasukkan ke dalam diet bayi anda apabila dia berusia enam bulan. Anda harus menghindari daripada menggunakan telur mentah dalam diet bayi sebab kadang-kala ianya mengandungi salmonela, yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Apabila memasak telur untuk bayi anda, pastikan telur dan putih telur itu kental. Atas rasional yang sama, adalah baik untuk tidak memberikan anak anda sebarang makanan yang berkemungkinan mengandungi telur mentah, seperti campuran kek yang tak masak, ais krim buatan rumah atau mayones, atau makanan pencuci mulut yang mengandungi telur mentah, seperti mousse.

Kacang-kacang

Memang benar yang anda sepatutnya tidak memberi kacang bulat kepada kanak-kanak berusia di bawah lima tahun sebab risiko tercekik. Tetapi mentega kacang dan kacang kisar sesuai untuk untuk bayi lebih dari enam bulan dan kanak-kanak yang tidak mempunyai sejarah alergi keluarga.

Alergi yang serius terhadap kacang-kacang dan produk kacang, dan jenis kacang tertentu menjejaskan kurang daripada satu peratus populasi. Bayi anda mungkin lebih berisiko jika anda, suami anda, dan adik beradik, mempunyai masalah alergi seperti hayfever (alergi gatal disebabkan debu), penyakit asma dan/atau ekzema.

Dahulu disyorkan bahawa jika anda atau suami anda mempunyai sejarah alergi, anda mungkin mahu cuba mengelakkan kacang tanah semasa kehamilan dan penyusuan badan, dan tidak memberikan anak anda kacang tanah untuk tiga tahun pertama usianya. Namun begitu, Agensi Piawaian Makanan UK telah mengatakan bahawa nasihat ini harus ditarik balik, sebab tiada bukti yang cukup untuk mempertahankannya. Walau bagaimanapun, alergi kacang tanah jarang terdapat di kalangan orang Asia.

Jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi, dapatkan nasihat doktor anda apabila hendak bercerai susu. Anda juga mungkin mahu merancang untuk membawa bayi anda berjumpa dengan pakar alergi.

Makanan bijan, seperti minyak bijan, biji bijan

Alergi bijan kian bertambah, dan sama seperti alergi kacang tanah, alergi bijan boleh melarat, dan boleh membawa kepada anafilaksis.

Sekiranya keluarga terdekat bayi anda tiada sejarah alergi, anda boleh memberikan anak anda makanan bijan seperti tahini (pes bijan) apabila usianya mencecah enam bulan. Jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi, dapatkan nasihat pakar pediatrik tentang bercerai susu. Anda boleh juga meminta dia mengaturkan perjumpaan bayi anda dengan pakar alergi.

Ikan dan produk ikan

Agensi Piawaian Makanan UK mengesyorkan bahawa anda seharusnya tidak memberi sebarang ikan atau makanan kerang kepada bayi lebih muda dari enam bulan, sebab terdapat kebarangkalian kecil yang mereka akan mendapat reaksi alergi.

Kanak-kanak juga patut jangan makan ikan yu, ikan todak atau marlin. Ikan-ikan ini mengandungi tahap merkuri yang tinggi dan boleh menjejaskan perkembangan sistem saraf kanak-kanak yang sedang membesar.
Jangan berikan kerang-kerangan mentah kepada bayi dan kanak-kanak, sebab makanan ini membawa risiko keracunan makanan yang tinggi.

Ikan, terutama ikan lemak atau berminyak, seharusnya menjadi sebahagian daripada diet yang sihat. Kanak-kanak dan dewasa disyorkan memakan sekurang-kurangnya dua hidangan ikan setiap minggu. Satu daripadanya harus ikan berminyak.

Ikan segar seperti salmon, trout, kod, haddock, ikan dalam tin seperti sardin dan sardin besar, termasuk produk ikan seperti jejari ikan dan kek ikan semuanya merupakan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak. Elak dari memberi ikan tin yang diawet dengan air masin, sebab tahap garam dalamnya adalah lebih tinggi daripada ikan yang disimpan dalam minyak.

Kacang soya dan produk berasaskan soya

Setengah kanak-kanak kecil mempunyai reaksi alergik terhadap soya dan produk soya termasuk susu formula soya. Simptom alergi soya sama seperti alergi susu, dan melibatkan ruam tebal, cirit-birit, muntah-muntah, perut memulas dan sesak nafas. Jarang sekali, namun boleh berlaku, ialah anafilaksis. Kanak-kanak yang alergik terhadap susu lembu sepatutnya diberikan formula berasaskan soya selepas mendapat nasihat perubatan sebab bayi yang alergik terhadap susu lembu juga kadang-kala alergik terhadap soya juga. Susu dihidrolisis tinggi atau formula kasein adalah alternatif kepada susu dan formula berasaskan soya. Mintalah nasihat doktor anda.

Buah kiwi

Ada segelintir orang yang melaporkan reaksi terhadap buah kiwi. Setengah reaksi ini adalah serius, terutama yang melibatkan kanak-kanak, dan bilangan orang yang terjejas nampaknya semakin bertambah. Ini mungkin berkaitan dengan peningkatan penyakit alergi secara keseluruhan, apatah lagi buah ini telah menjadi semakin popular di kalangan kanak-kanak.

Buah kiwi merupakan sumber yang kaya dengan vitamin C, kalium dan serat. Jika anak anda sudah mempunyai alergi terhadap makanan tertentu, atau jika terdapat sejarah alergi keluarga, anda dinasihatkan supaya tidak memberi anak anda buah kiwi sebelum usia enam bulan. (Sebaik-baiknya, anda tidak memperkenalkan sebarang pepejal sebelum usia enam bulan, melainkan anda dinasihatkan sebaliknya oleh doktor keluarga anda atau pakar pediatrik.)

Madu

Madu ialah gula, dan memberikan anak anda gula menggalakkan kegemaran terhadap makanan manis dan mengakibatkan kerosakan gigi. Agensi Piawaian Makanan UK mengesyorkan bahawa anda tidak memberi anak anda madu sebelum usia satu tahun, sebab ada kalanya ia mengandungi bakteria yang boleh mengeluarkan toksin dalam usus bayi. Ini dikenali sebagai botulisme bayi. Apabila bayi anda mencapai usia satu tahun, ususnya sudah matang dan sudah boleh menangani bakteria dari membiak.

Kismis

Kismis dan lain buah kering seperti kismis anggur hijau menyediakan snek berkhasiat bagi bayi yang lebih tua atau kanak-kanak bertatih. Walau bagaimanapun, sebarang makanan berkeping kecil mempunyai potensi risiko bayi tercekik, apatah lagi jika umur anak anda kurang dari satu tahun. Oleh itu, adalah baik jika anda hadir semasa anak anda mencuba makanan jejari seperti kismis dan anda harus memastikan yang dia telah sudah cukup sedia dari segi perkembangannya untuk mengunyah dan boleh duduk tegak secara sempurna, selain dari menguasai pegangan sepit untuk mencengkam dengan ibu jari dan jari telunjuk dan mengangkat barang.

Buah sitrus

Buah sitrus seperti oren, oren mandarin, limau gedang, lemon dan limau nipis mengandungi banyak vitamin C. Sebelum usia enam bulan, bayi tidak seharusnya diberikan jus buah dan buah sitrus. Jika anda membeli makanan bayi tersedia, telitikan label untuk mengetahui sama ada ia mengandungi buah sitrus seperti lemon sering dimasukkan ke dalam puri makanan bercerai susu awal seperti epal dan pisang. Jika memberi jus buah, berikan untuk hidangan utama sahaja dan pastikan ia betul-betul cair (satu bahagian jus untuk 10 bahagian air) dan berikannya dalam cawan atau bikar, bukan botol. Jika diminum secara cepat, ianya membantu mengurangkan risiko kerosakan gigi akibat kehadiran gula-gula dan asid secara semula jadi.

Strawberi and raspberi

Buah berbiji kadang-kala menyebabkan reaksi alergi bagi bayi. Tunggulah sampai bayi anda berusia enam bulan sebelum memberikannya. Reaksi alergik terhadap buah-buah jenis ini dan sayur-sayuran selalunya tidaklah serius, setakat menjejaskan mulut, menyebabkan rasa gatal atau ruam tebal di tempat-tempat di mana makanan itu menyentuhi bibir dan mulut. Ini dikatakan sindrom alergi mulut.

Susu lembu

Pada umumnya, pakar bersependapat bahawa anda seharusnya tidak memberi bayi anda susu lembu atau produk susu lembu sehingga bayi anda berusia enam bulan. Dari umur enam bulan, bolehlah anda mencampurkan sedikit susu lembu penuh krim dalam masakan, contohnya dalam sos keju atau kastard. Elakkan daripada memberi susu lembu sebagai minuman sehingga bayi anda berusia satu tahun, sebab ianya terlalu rendah dalam zat besi dan khasiat lain. Susu rendah lemak tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah dua tahun, tetapi boleh diberikan apabila mencapai umur dua tahun, asalkan tabiat makan anak anda itu sempurna, dietnya bervariasi, dan berat badannya normal. Jika tidak, gunakan susu penuh lemak sehingga anak anda berumur lima tahun. Susu rendah lemak tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah lima tahun sebab jumlah kalori dan vitamin penting dalamnya terlalu rendah.

Susu kambing dan biri-biri

Jangan beri susu kambing atau biri-biri kepada bayi di bawah satu tahun. Jika anda memilih untuk menggunakannya selepas setahun, pastikan ianya dipasteurkan.

Susu formula menyusul

Susu menyusul (atau susu membesar) diperbuat dari susu lembu dan dipasarkan atas kepercayaan yang ianya kaya dengan zat besi. Tidak ada keperluan untuk membeli formula membesar untuk menggantikan formula bayi. Jika anda bercadang menggunakannya juga, pastikan usia bayi anda sudah melebihi enam bulan.

Keju

Keju ialah satu sumber yang kaya dengan kalsium, dan menyediakan konsentrasi sumber tenaga. Anda boleh memasukkan sedikit keju dalam diet bayi anda dari usia enam bulan. Keju lapuk matang yang lembut, seperti brie dan camembert, tidak sesuai, sebab mempunyai risiko bakteria listeria.

Makanan serat tinggi

Makanan berserat tinggi adalah tidak sesuai untuk bayi atau kanak-kanak muda. Penggunaan roti mil penuh, pasta dan bijiran tidak menjadi masalah, tetapi elakkan daripada memberi makanan ini terlalu banyak sebab ianya akan memenuhkan perut anak anda, dan menjejasan pemakanan makanan lain.

Jangan masukkan sekam bijiran ke dalam makanan bayi anda sebab ia menghalang mineral penting tertentu daripada menyerap masuk. Berikan makanan berkanji yang bervariasi, termasuk pelbagai mil penuh untuk anak anda tetapi elakkan daripada menggunakan makanan mil penuh secara ekslusif sehingga anak anda berusia lima tahun.

Teh

Minuman teh tidak disyorkan untuk bayi atau kanak-kanak kecil. Ianya mengurangkan penyerapan zat besi apabila diambil dengan hidangan utama, ia mengandungi kafeina dan boleh melecurkan mulut bayi anda. Jika teh ditambah gula, ia juga menyumbang kepada kerosakan gigi.

Minuman bergas dan minuman soda

Minuman skuasy, minuman soda bergas, juga susu berperisa dan minuman jus tidak sesuai untuk bayi dan kanak-kanak yang baru mula bertatih. Ini disebabkan kanak-kanak yang banyak diberikan minuman manis, terutama sekali minuman bergas dan skuasy, didedahkan kepada risiko kerosakan gigi sebab minuman itu telah dicampur dengan gula dan mengandungi asid. Juga terdapat risiko bagi kanak-kanak yang “menyerempet” (graze iaitu makan snek) sepanjang hari menjejaskan selera mereka untuk mengambil makanan yang lebih berkhasiat. Setengah kanak-kanak juga akan menghidap “cirit-birit kanak bertatih” sebab terlalu banyak mengambil skuasy.

Pati jus buah mengandungi banyak vitamin yang mujarab untuk kesihatan kanak-kanak, terutama sekali vitamin C. Gula-gula yang terkandung dalamnya adalah bahaya untuk gigi, jadi cairkan minuman itu dengan baik (satu bahagian jus untuk 10 air), berikan jus semasa hidangan utama sahaja, dan gunakan cawam atau bikar, bukan botol. Minuman yang terbaik untuk kanak-kanak pada masa selang antara hidangan utama ialah air dan susu. Ini tidak mengandungi gula-gula yang boleh merosakkan gigi. Susu juga mengandungi vitamin dan mineral penting, seperti kalsium, vitamin B2 dan B12

Post a Comment

Komen Anda

Berita Semasa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...