من الأيات القرآن الكريمة
Jom Dengar Al Quran
MaCaM MaCaM BloG

Dapatkan animasi di Sini
KAMI RINDUKANMU, KEKASIH ALLAH YA RASULULLAH

Jom Ikut Mee Udang....

Monday, July 13, 2009

Makanan Ubah Suai Genetik Diragui

Bioteknologi moden hari ini dengan kaedah Kejuruteraan Genetik adalah salah satu daripada cabang hasil penyelidikan bidang sains dan teknologi. Hari ini ia digunapakai bagi banyak tujuan. Proses memanipulasi DNA organisma hidup seperti haiwan, tumbuhan dan mikroroganisma juga telah dikaji oleh saintis genetik. Komitmen Malaysia dalam memanfaatkan hasil penyelidikan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Ini kerana penggunaan bidang ini perlu di lihat dari pelbagai sudut. Bukan sahaja sumbangan dan manfaatnya tetapi implikasi dan kesan jangka pendek dan jangka panjang dalam penerimaan bidang ini sebagai sebahagian daripada keperluan hidup yang perlu dikaji dengan lebih mendalam.

Aplikasi bioteknologi dalam bidang pertanian misalnya bukanlah satu penyelesaian terbaik dalam menghasilkan tanaman yang bermutu tinggi dan menguntungkan. Apatah lagi dengan menggunakan kaedah ubah suai genetik (Genetically Modified Organisme – GMO) sebagai mangkin utama dalam menghasilkan produk tanaman yang dipropagandakan sebagai bermutu tinggi. Malaysia juga tidak ketinggalan mahu terlibat sama dalam menghasilkan model pertanian moden alaf baru menggunakan kaedah bioteknologi ini di samping penggunaan alatan moden seperti mesin dan jentera. Penghasilan tumbuhan transgenik hasil daripada manipulasi gen hidupan samada tumbuhan dengan tumbuhan atau tumbuhan dengan haiwan atau mikroorganisma seperti bakteria dan virus akan memberikan kesan sampingan kepada tanaman, alam sekitar, petani, kesihatan, pengguna dan lain-lain.

Ini seperti yang di buktikan daripada laporan sebuah pertubuhan bebas antarabangsa iaitu Sahabat Alam Antarabangsa (Friends of the Earth International - FoEI ) dalam laporan yang bertajuk ; ”Agriculture & Food , Who Benefits from GM Crops ? An analysis of the global performance of GM crops (1996 – 2006) ”. Berdasarkan laporan ini terdapat 4 jenis tanaman GM yang paling utama di dunia iaitu kacang soya, jagung, kapas dan kanola. Ia mula di tanam di AS pada tahun 1996.

Ternyata hasil penyelidikan ini mendapati, tanaman GM ini tidak memberikan keuntungan yang besar kepada para petani. Malah tidak memberangsangkan peningkatan kualiti hasil pertanian serta tidak memberi manfaat kepada para petani , pengguna dan alam sekitar. Malah para petani perlu menjaga dan menggunakan racun makhluk perosak dengan lebih kerap walaupun tanaman GM itu mempunyai ciri rintang serangga perosak. Ini akan meningkatkan kos penyelenggaraan tanaman yang mengakibatkan para petani terpaksa memikul beban hutang yang tinggi untuk membayar harga biji benih GM yang di beli di samping perlu menanggung kos–kos lain seperti pembelian racun serangga dan baja yang lebih banyak berbanding tanaman biasa.

Ini seperti yang di buktikan berlaku di Andra Pradash, India di mana ramai penanam kapas mengalami kerugian akibat menggunakan biji benih kapas GM yang di kenali sebagai Kapas Bt. Menurut petani , mereka mendapati hasil pengeluaran kapas Bt amat sedikit berbanding dengan kapas biasa. Hasil kutipan kapas biasa seberat 1 kg adalah bersamaan dengan 2 kg kapas Bt. Malah warna kapas Bt yang di hasilkan juga tidak bermutu tinggi dan tidak seputih kapas biasa.

Merujuk kepada kajian kes lain ialah tanaman betik GM di Hawaii. Betik GM pertama di kesan di Hawaii adalah pada tahun 1998. Betik ini di hasilkan dengan keupayaan melawan serangan virus bintik cincin ( papaya ringspot virus). Ia telah di hasilkan oleh Dr. Dennis Gonsalves dan Dr. Richard Manshardt. Walaupun masalah penyakit ini dapat di atasi tetapi masalah lain daripada betik GM telah timbul iaitu harga pasaran yang rendah serta penolakan daripada penguna. Hasil daripada penyelidikan yang di jalankan mendapati kebanyakan pokok betik di seluruh Hawaii telah tercemar dengan benih betik GM. Adalah amat sukar untuk mendapatkan biji benih betik yang asli apabila di uji walaupun sampel pokok betik yang di ambil dari pelbagai kawasan termasuk kawasan yang di kenalpasti sebagai bebas tanaman GM. Kajian terbaru pada 2006 mendapati bahawa, Waimanolo Solo yang di kenalpasti sebagai kawasan bebas tanaman betik GM di kesan telah mengalami pencemaran benih GM sebanyak 0.01% tetapi kurang daripada 0.1 %. Dengan tersebarnya benih GM ini melalui proses pendebungaan semulajadi mengakibatkan kemusnahan yang sukar untuk di pulihkan terhadap pokok betik organik dan memberi kesan yang ketara kepada penanam betik organik.

Begitu juga yang telah berlaku di Thailand,pokok betik yang di tanam dengan menggunakan biji benih GM ini telah di beli daripada pusat penyelidikan di Khon Kaen. Di Thailand penjualan benih GM adalah haram kerana tidak sah di sisi undang - undang negara itu. Hasil penyelidikan yang di jalankan mendapati bahawa banyak ladang betik telah tercemar dengan biji benih GM ini. Kerajaan Thailand telah mengambil langkah menghapuskan tanaman betik GM di kawasan ujian yang di jalankan oleh pusat penyelidikan pertanian Khon Kaen ini. Penanaman tanaman GM di dalam alam sekitar adalah sangat berbahaya untuk jangka panjang.

Saintis Genetik telah memanipulasi hidupan dengan ciptaan mereka. Hasil GMO adalah tidak semulajadi dan tidak mempunyai habitat semulajadi yang tersendiri. Secara tidak langsung hasil tanaman GM ini mampu mencemarkan tanaman asli dan menghapuskan biodiversiti asli biji benih semulajadi. Malah ia memberikan kesan yang sangat berbahaya kepada ekosistem, hidupan semulajadi, alam sekitar, kesihatan penguna serta nilai moral dan etika agama juga tercabar. Kemungkinan kita hanya akan tersedar kesan pencemaran dan bahaya GM ini dan telahpun terlambat untuk mengambil langkah pencegahan hanya selepas sesuatu kejadian buruk telah berlaku terutama kepada kesihatan manusia. Ini kerana sehingga kini tanaman GM yang di hasilkan tidak di uji keselamatannya terhadap pengguna. Malah tidak di labelkan di pasaran tempatan.

Atas sebab – sebab ini adalah wajar untuk Malaysia mengkaji dengan lebih mendalam kesan buruk akibat daripada penggunaan tanaman GM berbanding kesan positifnya. Rang Undang – Undang Bio Keselamatan ( Biosafety Bill ) yang telah di luluskan oleh kabinet pada Julai 2007 di lihat sebagai satu usaha ke arah perkembangan tanaman ubah suai genetik yang di hasilkan di dalam negara mahupun pengimportan produk GM dari luar negara. Penguatkuasaan undang – undang ini tidak boleh di pandang remeh kerana kegagalan dalam penguatkuasaannya bakal mengundang bahaya yang cukup besar . Penubuhan Jawatankuasa Penasihat Genetik (Genetic Advisory Committee- GMAC) pada tahun 1996 merancakkan lagi perkembangan bidang bioteknologi di Malaysia.

Sehingga kini kita mungkin telahpun membeli dan memakan produk tanaman GM ini tanpa di sedari. Hasil tanaman ini yang di jual terutama dalam pasaraya multinational adalah tidak di label sama sekali . Ia mungkin di pasarkan dalam bentuk produk mentah atau dalam bentuk makanan siap. Malah sebagai pengguna dan masyarakat awam kita tidak di beri pendidikan dan kesedaran serta tidak di dedahkan dengan jenis produk GM di pasaran dan kesan langsung kepada kesihatan . Sebagai contoh kacang soya. Malaysia tidak menanam kacang soya. Ini bermakna, kita mengimport produk tersebut. Tahukah anda dari negara mana kacang soya ini di import? Yang pastinya 4 negara utama yang menjadi penanam kacang soya adalah Brazil, US, Argentina dan Kanada. Berdasarkan kepada laporan FoEI , negara – negara ini telahpun menanam kacang soya GM yang di kenali sebagai soya Roundup Ready ( soya RR ) secara komersial di negara mereka. Kacang soya ini di ubah suai khas dengan ciri rintang kepada racun glifosat yang di gunakan untuk membunuh rumpai.

Dengan mengambil pengalaman negara–negara luar yang lebih dulu terdedah kepada kaedah dan teknologi tanaman GM ini serta penyediaan langkah pencegahan dan berjaga–jaga di peringkat awal dengan mewujudkan undang–undang bio keselamatan adalah lebih baik daripada menunggu sesuatu kesan buruk berlaku. Sekiranya keadaan ini berlaku kita mungkin telah terlambat dan amat sukar untuk memulihara serta mengembalikan kestabilan alam ini secara holistik seperti sediakala.

Persoalan besar yang timbul hari ini adalah, perlukah kita kepada tanaman ubah suai genetik? Seperti yang kita fahami, tanaman akan menghasilkan makanan. Padi, betik, sayur–sayuran dan pelbagai jenis tanaman utama lain. Makanan adalah menjadi keperluan penting bagi setiap manusia juga haiwan dan makhluk lain. Sebagai ummat islam, kita di sarankan untuk memilih makanan yang halal lagi baik (toyyib). Apatah lagi makanan ini akan membentuk darah daging kita sendiri. Justeru saranan untuk mengambil makanan yang halal dan baik adalah perlu di ambil perhatian yang serius bagi setiap individu muslim.

Hari ini kita di dedahkan dengan isu baru yang melibatkan produk makanan kita dari pertanian moden. Yang mana ia di dasari oleh penemuan baru bioteknologi dengan terhasilnya makanan ubah suai genetik. Dunia moden abad ini memberi penekanan dalam aplikasi tanaman jenis ini. Sudah pasti penemuan baru hasil penyelidikan sains dan teknologi barat ini menimbulkan kontroversi kerana melibatkan etika dan juga agama. Penemuan baru ini seolah–olah memperlihatkan kepada kita bahawa manusia boleh mencipta makhluk baru. Menyamai sifat Allah yang Maha Mencipta. Malah lebih serius lagi ,apabila kaedah yang di gunapakai ini melibatkan manipulasi DNA spesis haiwan atau tumbuhan asal. Paling tidakpun mereka berjaya mengubah ciptaan asal ALLAH. Di manakah letaknya etika , adab dan akhlak dalam perlaksanaan methodologi kajian sains ini ? Apatah lagi apabila ia melibatkan saintis muslim dalam melaksanakan penyelidikan ini .

Beberapa institusi di dalam negara ini telah di kenalpasti terlibat dalam pembangunan dan penyelidikan tanaman ubah suai genetik. Di antara yang utama ialah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia ( Malaysian Agriculture Research and Development Institute- MARDI ) yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani . Kajian pertama tanaman GM di MARDI adalah beras. Ia bagi menghasilkan padi trangenik (GM) yang rintang kepada pelbagai penyakit seperti hawar seludang, rintang kepada racun rumpai Bista dan juga meningkatkan hasil pengeluaran padi. Selain padi, projek penyelidikan GM lain yang di jalankan adalah betik supaya rintang kepada virus bintik cincin (ring sport virus-RSV) , nanas yang rintang kepada penyakit ‘black heart’ (BH), pokok bunga orkid bagi menghasilkan warna bunga yang menarik dan di samping rintang serangan virus dan memanjangkan tempoh hayat . Selain itu buah – buahan lain (passion fruits) dan lada hitam juga termasuk dalam usaha penyelidikan GM bagi memastikan ia rintang kepada serangan penyakit dan virus.

Tidak di nafikan beberapa institusi lain yang terlibat di dalam penyelidikan GM ini adalah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM - Forest Research Institute Malaysia), dan universiti tempatan seperti UPM dan USM. Komitmen kerajaan di dalam bidang ini dapat di lihat dalam bajet RMK - 9 bagi Perbelanjaan dan Peruntukan Pembangunan Bagi Bioteknologi (2001 – 2010) adalah berjumlah RM 463 juta bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan ( Research and Development – R&D) di dalam bidang ini.

Berdasarkan kepada buku Quran Saintifik tulisan Dr. Danial Zainal Abidin (Bab 10, Muka surat 18-19) beliau menyatakan bahawa islam menekankan kepada aspek akhlak dalam bidang sains dan teknologi. Akhlak yang wajib di amalkan adalah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Ia melibatkan individu , alam sekitar dan masyarakat keseluruhannya. Apa yang akan berlaku apabila sains dan teknologi yang terbabas daripada nilai amanah dan agama?. Beliau memberi contoh, bahawa bidang kejuruteraan genetik yang mampu mengubah DNA satu spesis kepada spesis yang lain itu memerlukan penggunaan virus dalam memastikan kejayaannya. Apa yang berlaku akibat daripada penggunaan kuman atau virus ini ialah penghasilan pelbagai kuman spesis lain dan menimbulkan penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr. Mae – Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, UK menyatakan bahawa kejuruteraan genetik telah menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992, wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E.coli 157 di Scotland. Beliau menekankan kepada aspek kepatuhan kepada syariat dalam penyelidikan sains supaya ia tidak lari dari landasan kebenaran.

Lebih dahsyat lagi jika melalui kaedah ini, mampu untuk menghasilkan senjata biologi yang membunuh secara senyap. Pernah kita di gemparkan dengan berita mengenai penerimaan sejenis serbuk yang tidak di ketahui melalui pos oleh individu tertentu. Ia di curigai mengandungi bakteria atau virus yang mampu membunuh. Virus H5N1 misalnya yang pernah melanda dunia, juga tidak di ketahui punca asalnya. Adakah ia juga terhasil dengan tidak sengaja akibat dari kegagalan dalam penyelidikan kejuruteraan genetik, atau mungkin faktor perubahan iklim dunia yang mungkin menimbulkan virus baru ? Jika keadaan ini berlaku, ia bukan sahaja mampu membunuh manusia, tetapi mampu menyerang semua hidupan di muka bumi ini. Secara tidak langsung, menganggu dan merosakkan ekologi alam ini.

Ummat islam hari ini, bukan sahaja mengalami tekanan dari aspek memilih produk halal dari sudut adunan bahan makanan semata – mata. Tetapi logo halal yang di ragui di setiap pembungkus produk juga masih mengelirukan. Tetapi hari ini kita juga semakin keliru dalam membuat pilihan makanan yang halal genetiknya. Sebagai contoh, kejuruteraan genetik hari ini, telah berjaya menghasilkan tumbuhan yang mengandungi gen ikan di dalamnya. Secara zahir ia di lihat sebagai sebiji tomato segar. Tetapi kandungan DNAnya telah di campuri dengan DNA ikan. Tujuannya sudah pasti dari aspek komersial bagi menghasilkan sebiji tomato yang sihat dan tahan pada suhu yang sejuk. Memanjangkan jangka hayat dan tidak cepat rosak.

Jika di lihat sekali imbas, ia kelihatan masih halal. Tapi baikkah ia kepada manusia dan makhluk lain yang memakannya? Halal kerana DNA campuran itu melibatkan haiwan dari spesis yang halal untuk di makan oleh ummat islam. Tetapi apa akan berlaku sekiranya, tomato itu di hasilkan daripada DNA khinzir atau bakteria ? Timbul keraguan samada ianya masih halal dan baikkah untuk kita? Kaedah untuk mengesan DNA asing dalam makanan ubah suai genetik hanya dapat di lakukan oleh pakar dengan menggunakan alatan , teknik dan bahan – bahan tertentu sahaja. Hanya pakar genetik sahaja yang dapat menentukanya. Bagaimana dengan pengguna dan masyarakat awam biasa seperti kita?

Persoalan ini memerlukan pakar daripada golongan ulama’ dalam menentukan sesuatu hukum samada makanan ubah suai genetik ini halal , haram, sunat, harus atau makruh. Namun pada saat ini, belum ada fatwa yang menyatakan status hukum makanan ini secara jelas dan rasmi. Jika di lihat dari perspektif ini, kita sedia maklum bahawa perkara yang halal itu jelas, dan perkara yang haram itu juga jelas. Tetapi dalam konteks makanan ubah suai genetik ini, ia tidak berada di tahap halal, dan tidak berada di tahap yang haram. Adakah ia termasuk dalam hal yang syubhah? Jika ia syubhah, maka kita wajar untuk mengelakkan diri daripada mengambil dan memilih makanan yang telah di ubah suai genetiknya. Sehingga kini ia masih lagi menjadi tanda tanya kepada kita semua sebagai ummat islam yang peka dan mahu menjaga diri dari termakan dan memakan makanan yang tidak halal dan tidak baik kepada tubuh badan kita.

Sebagaimana firman ALLAH dalam surah Al–Baqarah:168 yang menyatakan dengan jelas supaya kita memakan makanan yang halal lagi baik.

” Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi,dan janganlah kamu mengikuti langkah- langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu” (Al-Baqarah:168)

Para ulama ’ abad ini juga, perlu peka dan berpengetahuan di dalam banyak perkara yang melingkari kehidupan masyarakat islam di dalam dunia moden hari ini. Apatah lagi di dalam isu tanaman ubah suai genetik. Mereka perlu faham konsep sains GM serta perlu melihat perkembangannya dari seluruh aspek kehidupan manusia secara bersepadu sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa . Status sah dan batalnya sesuatu fatwa atau hukum yang di tetapkan dalam konteks makanan GM ini juga perlu di tekankan dan di perincikan bagi memastikan masyarakat islam di negara ini tidak menjadi mangsa kejahilan .

Di dalam dasar ekonomi neo–liberalisme ini, sejauh manakah kita dapat memastikan produk segar yang kita beli bebas daripada makanan ubah suai genetik? Ini kerana makanan ini tidak di labelkan di pasaraya. Sebagai pengguna muslim, kita perlu berhati–hati dalam memastikan produk yang di beli. Dengan adanya syarikat multinasional di negara kita, jangkaan kepada hasil tanaman GM telah di jual di pasaran bebas bermungkinan mencapai 50%. Ini kerana ia di jual dalam bentuk makanan segar yang belum di proses seperti tomato, ubi kentang, kacang soya, beras dan lain–lain . Ada di antaranya juga di jual dalam produk siap seperti biskut, jem, keropok segera, produk tenusu dan pelbagai lagi.

Sehingga kini 17 buah negara dunia telahpun mengkomersialkan tanaman GM. 85% tanaman GM di tanam di US - (59%), Argentina - (20%) dan Kanada (6%). Negara Lain yang terlibat adalah Brazil, China, Paraguay, India, Afrika Selatan dan Australia. 6 buah negara telah mencapai 98% menanam tanaman GM. Di antara tanaman yang telah di ubahsuai genetiknya dan di tanam secara meluas ini adalah kacang soya 60% (56% daripadanya adalah hasil GM ), jagung 23 % (14% adalah GM), kapas 11% (28% adalah GM) dan Kanola 6% (19% adalah GM). Jika di lihat dari sudut yang lain, kebanyakan tanaman yang menjadi perhatian utama untuk di ubahsuai genetiknya adalah melibatkan makanan ruji atau yang menjadi hasil pengeluaran utama negara tersebut.

Bagi kita di Malaysia, sudah pasti tanaman padi akan menjadi sasaran utama untuk di ubahsuai genetiknya. Walaubagaimanapun ia masih lagi di peringkat penyelidikan di makmal. Beberapa jabatan dan universiti tempatan turut terlibat dalam menjayakan penyelidikan ini. Di perkukuhkan lagi apabila tanaman padi ubah suai genetik yang di kenali sebagai beras emas (golden rice) yang di perkaya dengan vitamin A dan rintang terhadap serangan rumput rumpai telahpun di hasilkan di negara luar. Ia didakwa mampu mengurangkan masalah rabun yang di alami oleh kebayakan masyarakat di Asia. Terdapat dakwaan bahawa, jumlah beras emas yang perlu di makan oleh seorang dewasa bagi mencukupi keperluan diet vitamin A nya hanya di perolehi apabila dia memakan sejumlah 9kg beras emas. Jika tidak, vitamin A di dalam badannya tidak mencukupi. Secara kebiasaan, badan kita mendapat bekalan vitamin A melalui pelbagai jenis dan sumber makanan lain yang berbeza - beza. Untuk menjimatkan dan memudahkan individu tersebut, maka beras emas ini di cipta bagi memenuhi keperluan vitamin A hanya daripada 1 sumber sahaja. Tetapi dengan syarat ia perlu di ambil dalam kadar 9 kg.

Jika isu ini di kupas dan di selidiki secara terperinci ,kita dapati akar masalah ini adalah di sebabkan oleh keperluan ekonomi. Dunia kapitalis menuntut tanaman ini untuk di hasilkan. Maka tumbuhan ubah suai genetik di hasilkan bagi mengaut keuntungan semata–mata. Hasil penemuan sains dan teknologi ini di komersialkan, bagi memenuhi kehendak syarikat multinasional yang di kenali sebagai Monsanto yang terletak di US sebagai pelopor utama dalam penjualan biji benih GM. Seperti yang di sebutkan tadi, tujuannya adalah untuk menghasilkan tanaman yang sihat dan rintang penyakit sekaligus mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak. Dapat meningkatkan hasil tanaman bagi memenuhi keperluan pasaran dan bantuan makanan kepada negara–negara miskin seperti Afrika . Memberi pulangan dan pendapatan ekonomi kepada sesebuah negara. Inilah diantara janji–janji dan propaganda yang di sebar luas dalam mempromosikan keperluan tanaman dan makanan ubah suai genetik.

Namun implikasinya juga tidak kurang hebat. Sebelum mengeluarkan sesuatu hukum berhubung isu ini, ulama’ perlu memahami akan titik mula masalah ini timbul. Ia bukan semata – mata mengeluarkan fatwa atau hukum atas dasar melihat kepada makanan yang terhasil serta propaganda yang di war – warkan bahawa tanaman ubah suai genetik itu adalah baik. Tetapi ia perlu melihat lebih jauh dan terperinci dari titik mula timbulnya isu ini sehinggalah implikasi dan kemudharatannya. Kesan tanaman ubah suai genetik ini dapat di kaji secara terperinci dari pelbagai aspek seperti keraguan terhadap hasil tanaman itu sendiri,kesan kepada ekosistem dan ekologi alam sekitar, kesihatan masyarakat, status sosio ekomoni masyarakat petani yang berskala kecil dan besar , serta aspek etika , nilai moral dan agama.

Pandagan yang holistik terhadap isu ini wajar untuk di kaji. Ummat islam hari ini tidak boleh hanya menerimanya bulat – bulat. Kita perlu berfikiran ktirikal dalam menilai sesuatu perkara. Sekiranya masyarakat EU menolak makanan ini atas pertimbangan kesan kesihatan sebagaimana yang di buktikan oleh syarikat makanan EU pada tahun 2000. Mereka mendapati pengguna menolak makanan GM

Secara praktikalnya, tiada tanaman GMO baru di EU yang di tanam semenjak tahun 1998. Pada Jun 1999, 5 negara EU – Denmark, France, Greece, Italy dan Lexumbourg telah mengeluarkan deklarasi rasmi yang di bentuk berdasarkan de facto moratorium ; mereka berazam untuk menghalang kelulusan tanaman GM baru sehingga perundangan yang lengkap ke atas GMO di kuatkuasakan. Ia bertujuan untuk mengelakkan tanaman GM baru daripada memasuki pasaran pada masa itu.

Tidak semua sains dan teknologi itu memberikan kesan yang baik kepada manusia, hidupan, alam sekitar dan ekologinya serta masyarakat keseluruhannya. Untuk apa dan kepada siapa sebenarnya makanan ubahsuai genetik (GM) ini perlu di hasilkan ? Yang pasti, tanpa makanan GM ini sekalipun bekalan makanan kita masih cukup dan kita dapat menikmatinya tanpa was–was. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa kita telah sampai ke marhalah yang boleh mengakibatkan kematian dan kebuluran kerana tidak cukup makanan.

Penggunaan teknologi ini dalam bidang perubatan mungkin ada rukhsohnya. Sebagai contoh penghasilan insulin bagi merawat penyakit diabetes. Tetapi penggunaan bioteknologi moden ini dalam bidang pertanian, perlu di kaji dengan lebih terperinci dan serius. Negara kita kaya dengan biodiversiti alam semulajadi , usah cemari ia dengan tanaman GM yang boleh merosakkan keaslian biji benih asal sekaligus memusnahkan ekologi dan ekosistem alam semuladi ciptaan ALLAH ini. Pelbagai kaedah pertanian lain yang lebih mesra alam dan masyarakat seperti pertanian organik adalah wajar di utamakan Teknologi GM hari ini mendatangkan lebih bahaya daripada kebaikannya. Pandangan islam terhadap isu ini perlu juga berkait rapat dengan hadis Rasulullah salallahualaihi wasalam ;

"Janganlah Kamu berbuat sesuatu yang mendatangkan kesan kemurodhatan (bahaya)"

Dalam mewacanakan usaha perkembangan bidang pertanian moden yang berasaskan kepada ubahsuai genetik sebagai pemacu utama sektor pertanian negara, pihak yang berwajib perlu meneliti kembali hasil usaha ini. Ahli akademik yang menjalankan penyelidikan perlu juga mengambil kira faktor lain sebagai asas penyelidikan mereka terutama aspek implikasi dalam penggunaan tanaman GM terhadap alam sekitar, pengguna, petani dan bidang pertanian keseluruhannya . Ini kerana tidak ramai saintis dan penyelidik mahu menjalankan penyelidikan seumpama ini kerana tiada nilai komersial bagi hasil kajiannya.

Produk yang terhasil daripada kajian ini perlu di buat penyelidikan rapi dan testimoni terlebih dahulu sebelum di komersialkan di pasaran bebas untuk pengguna bagi mengesan implikasinya. Penyelidikan saintifik yang di jalankan ini bukanlah semata - mata untuk menghasilkan produk bagi mencapai matlamat kajian tersebut sahaja tetapi juga kesannya kepada masyarakat keseluruhannya. Malaysia wajar mengambil iktibar dan pengajaran daripada amaran awal kesan risiko penggunaan teknologi ini. Memandangkan kita masih di peringkat penyelidikan dan pembentukan polisi yang berkaitan

"Hai rasul–rasul makanlah dari makanan yang baik–baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" (Al – Mu’minuun:51)

Agensi kerajaan lain yang bertanggungjawab dalam memantau aktiviti penyelidikan dan komersialisasi produk GM ini perlu memastikan dasar–dasar dan polisi bioteknologi negara yang ada kini sentiasa bersesuaian. Undang–undang Bio Keselamatan yang di gubal ini perlu di kuatkuasakan secara ketat dan di perbaharui dari masa ke semasa. Penekanan terhadap aspek pelabelan makanan GM ini perlu di tekankan bagi memastikan pengguna dapat membuat pilihan dan mendapat maklumat berhubung nutrisi dan kandungan bahan genetik yang terubah suai , di ubah suai atau di pindah masuk kedalam makanan tersebut.

Para Ulama’ juga tidak boleh di nafikan peranannya. Mereka perlu memainkan peranan aktif dalam memantau perkembangan produk GM ini agar fatwa dan hukum hakam berkaitan dapat di umumkan secara rasmi kepada masyarakat awam dan di perbaharui khususnya bagi ummat islam di Malaysia. Sehingga kini, masih belum dapat di pastikan samada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan fatwa rasmi berhubung perkara ini ataupun tidak. Sebagai pengguna kita juga berhak untuk memilih makanan yang halal lagi baik untuk diri dan seisi keluarga. Serta menolak makanan yang di ragui status halal dan haramnya. Pilihan terletak di tangan anda. Sentiasalah menjadi pengguna islam yang peka dalam mendapatkan maklumat dalam memastikan anda menjadi pengguna bijak yang berinformasi dan berhemah.

_____________

Penulis merupakan graduan USM dari Usrah Alam Sekitar. Juga seorang kolumnis di majalah Milenia Muslim

Dari laman : Thaqafah Daeiah

Post a Comment

Komen Anda

Berita Semasa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...