“SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?
Lailatul Qadar itu ialah satu malam pada Ramadan yang penuh berkat, iaitu malam yang mengandungi banyak kebaikan, kerana pada malam itu malaikat turun membawa rahmat dan kesejahteraan seperti diterangkan dalam al-Quran.
Agung dan mulianya Lailatul Qadar sehingga Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya melakukan persediaan menyambut dan menghayati malam yang berkat itu. Persediaan yang dimaksudkan itu bukan dengan pesta yang tidak ketentuan, tetapi dengan amal ibadat yang membawa rahmat.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabdanya, bermaksud:
“…sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis sahih riwayat Bukhari)
Ibadat yang dimaksudkan termasuk membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu manakala beriman disebut dalam hadis berkenaan merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan benarnya keistimewaan Lailatul Qadar yang mulia itu.
Sebenarnya Ramadan, al-Quran dan malam Lailatul Qadar adalah gandingan yang mempunyai hubungan sangat rapat. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar, pada Ramadan.
Walaupun Lailatul Qadar mempunyai keberkatan dan kebaikan berlimpah ruah, sehingga dikatakan tiada tandingan berbanding malam lain, ia tidak dinyatakan dengan jelas pada hari tertentu.
Tetapi Rasulullah s.a.w ada membayangkan malam berkenaan, malah menasihati supaya melakukan persediaan untuk menghadapinya, seperti dinyatakan dalam hadis bermaksud:
Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadan.” (Hadis sahih riwayat Bukhari)
Malam yang ganjil sudah pasti malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Ada hadis yang menyatakan Lailatul Qadar pernah ditemui pada zaman Rasulullah s.a.w pada malam 21 Ramadan dan malam 23 Ramadan.
Baginda juga pernah meminta seorang sahabat yang bertanya mengenai Lailatul Qadar supaya dia bersedia menghayatinya pada malam 27 Ramadan.
Keterangan di atas menunjukkan Lailatul Qadar tidak tetap, sebaliknya boleh bertukar dalam 10 malam terakhir Ramadan pada setiap tahun.
Hikmah malam penuh berkat itu dirahsiakan supaya setiap orang Islam bersungguh-sungguh menghayati 10 malam terakhir Ramadan dengan amal ibadat dan memberi pengharapan yang tinggi kepada Ilahi supaya dapat bertemu malam berkenaan.
Imam Nawawi, berkata: “Lailatul Qadar dapat disaksikan orang yang dikehendaki Allah pada tiap-tiap tahun ketika Ramadan, sebagaimana yang diterangkan dengan jelas dalam hadis Rasulullah s.a.w dan diberitakan juga oleh orang yang soleh…”
Kemudian beliau menyebutkan penjelasan Imam Al-Mawardi, dalam kitabnya, Al-Hawi: Bahawa orang yang dapat menyaksikan Lailatul Qadar, elok dia menyembunyikan perkara yang disaksikan (supaya dia terselamat daripada perasaannya) dan hendaklah dia berdoa (pada saat yang berkat itu) dengan ikhlas serta sepenuh-penuhnya yakin dengan permohonan yang disukainya mengenainya agama dan dunianya, biarlah kebanyakan doanya itu untuk (kebaikan dan keselamatan) agama serta hari akhirat.”
Menurut pandangan Imam Ghazali, Lailatul Qadar ini boleh diketahui melalui..
*Jika awal Ramadzan pada Ahad atau Rabu, maka Lailatul Qadar pada malam 29 Ramadzan.
*Jika awal Ramadzan pada Isnin, Lailatul Qadar pada malam 21 Ramadzan.
*Jika awal Ramadzan pada Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar pada malam 27 Ramadzan.
* Jika awal Ramadzan pada Khamis, Lailatul Qadar pada malam 25 Ramadzan.
*Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka Lailatul Qadar pada 23 Ramadzan.
Selain tanda itu, malam ini juga boleh dikenali dengan beberapa tanda, iaitu..
*Malam itu langitnya kelihatan suci bersih. Bulan bercahaya segar dan terang benderang.
*Udaranya nyaman, tidak sejuk dan tidak panas.
*Langit tidak diganggu bintang.
*Matahari pada waktu paginya memancarkan cahaya seimbang seperti cahaya bulan purnama.
Dari Anas meriwayatkan sebuah hadis Rasululah s.a.w. yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada umatku lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat-umat sebelum mereka. (Riwayat Ad Dailani).
Nabi kita menggalakkan kita dan ahli keluarga menghidupkan malam itu dengan amal ibadat. Rasulullah sendiri sering meningkatkan peribadatannya khususnya pada 10 hari terakhir dari bulan tersebut. Bahkan keluarganya dibangunkan, diajak memperbanyakkan amal di tengah malam.
Diriwayatkan bahawa Nabi membangunkan Fathimah dan Ali kemudian berkata kepada kedua-duanya, “Bangunlah, kemudian solatlah.” Beliau membangunkan Aisyah pada waktu malam apabila hendak menunaikan tahajudnya serta witir.
Diriwayatkan bahawa Nabi berjaga pada malam 23, 25 dan 27, dan disebutkan bahawa ia mendoakan keluarga dan isterinya terutama pada malam ke-27. Hal ini menunjukkan bahawa beliau menganjurkan mereka tentang bilangan hari yang ganjil yang diharapkan di dalamnya ada lailatulqadar. Imam ath-Thabrani meriwayatkan dari Ali bahawa Nabi membangunkan keluarganya, yang kecil mahupun besar untuk solat pada 10 malam terakhir.
Sufyan ats-Tsauri berkata, Aku lebih suka bila masuk sepuluh yang akhir untuk bertahhajud di malam hari dan bersungguh- sungguh di dalamnya, membangunkan keluarga dan anak untuk solat bila mereka kuat melakukannya.
Solat malam
Disebutkan dalam Al-Muwaththa bahawa Umar ibn al-Khaththab, solat malam sesuai kehendak hatinya dan jika datang pertengahan malam ia membangunkan keluarganya untuk solat. Ia berkata kepada mereka, “solat, solat” dan membaca sepotong ayat yang maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu untuk solat dan bersabarlah atasnya. ( Thaha: 132).
Nabi juga memerintahkan untuk mencari lailatulqadar agar kaum Muslim tidak disibukkan sepanjang malam-malam Ramadan dengan kesenangan yang dibolehkan. Baginda memerintah untuk mencari lailatulqadar dengan bertahajud terutama pada malam-malam yang diharapkan lailatulqadar. Nabi bercampur dengan keluarganya hingga 20 Ramadan, kemudian menjauhi isteri-isterinya untuk mencari lailatulqadar pada 10 yang terakhir. Di antaranya mengakhirkannya untuk makan sahur. Aisyah dan Anas meriwayatkan bahawa Nabi jika datang Ramadan, akan mendirikan solat malam dan tidur. Apabila masuk 10 hari terakhir; ia mengetatkan ikat pinggang, menjauhi isteri dan mandi di antara dua azan dan mendirikan isya, waktu sahur.
Asy-Syafii berkata dalam Qaul Qadim, “Disunatkan bersungguh-sungguh beribadah pada siang hari sebagaimana bersungguh- sungguh di malam hari.” Ucapan ini menunjukkan sunatnya bersungguh-sungguh dalam semua masa selama 10 hari terakhir Ramadan, malam dan siangnya.
Jika lailatulqadar datang setiap tahun maka sudah tentu ada tanda-tanda kedatangannya. Justeru lailatulqadar sesuatu yang abstrak, spiritual dan rohaniah. Maka terdapat pelbagai pendapat mengenai cara kedatangannya atau cara seseorang itu memperoleh lailatulqadar. Tidak sedikit dari cerita-cerita itu bersifat mitologi, yang tidak boleh dipertanggungjawabkan, tidak masuk akal dan mengada-ngada.
Ada cerita, kalau lailatulqadar turun maka air sungai berhenti mengalir, tumbuh-tumbuhan tunduk tenang, alam raya terlihat cerah, bintang bersinar dan sebagainya. Mungkin semua itu pernah terjadi terutama di wilayah geografinya memungkinkan - seperti air membeku, tetapi tidak ada kaitannya dengan lailatulqadar. Jadi peristiwanya cuma kebetulan.
Hakikatnya bagaimanakah al-Quran berbicara soal tanda-tanda lailatulqadar?
Dalam surah al Qadr (97) ayat terakhir, Tuhan menyebut tanda-tandanya: Salaamun hiya hatta matlail fajr – kedamaian atau kenikmatan hakiki (terjadi) pada malam itu sehingga terbit fajar. Jadi jelas bahawa tandanya tidak bersifat lahiriah, kerana kedamaian itu adalah sesuatu yang dapat dirasakan. Maka barang siapa yang mendapatkan lailatulqadar, dia akan merasakan kedamaian atau ketenangan yang luar biasa dalam dirinya pada malam itu hingga terbit fajar.
Itu sebabnya dalam Surah ad Dukhan (44) ayat 3 lailatulqadar disebut sebagai laylatun mubaarakah kerana kedamaian hati yang bersumber langsung dari Allah adalah berkat yang paling tinggi. Ia bagaikan air sejuk bagi seorang musafir yang kehausan. Yang kedua, al-Quran adalah sumber pengetahuan tertinggi dan, kerananya, kebenaran tidak diragukan. Ia hanya boleh dicapai oleh darjat keintelektualan yang paling tinggi, intelek kenabian. Maka kalau anda boleh mendapatkan percikkannya (saja) pada malam lailatulqadar, bererti - berkat mujahadah anda hingga saat itu - anda berhasil menyentuhi intelek kenabian; dan itu adalah kenikmatan dan sekali gus berkah yang paling tinggi. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh malam terakhir, pada malam ganjil. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Jika anda benar-benar berkeinginan mendapatkan lailatulqadar, anda harus melakukan kiam Ramadan. Iaitu menghidupkan sepanjang masa bulan Ramadan, siang dan malam, dengan taklim (belajar), ibadah, zikir, solat sunah, dan qiraah (tadarus dan telaah) al-Quran; memusatkan seluruh pintu indra yang memungkinkan dosa dan fikiran-fikiran buruk hinggap di hati anda.
Ciri-ciri orang yang mendapat lailatulqadar mengikut al-Quran:
* Iaitu mereka yang beriman kepada ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka; dan mereka yang beriman kepada apa-apa yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) dan apa-apa yang Kami turunkan sebelum kamu, serta mereka yakin kepada (adanya) kehidupan akhirat. (al-Baqarah [2]: 2-4)
* Iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberi harta yang diicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, anak jalanan (termasuk musafir yang memerlukan pertolongan), orang-orang yang meminta-minta, (menghilangkan) perbudakkan, mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janjinya apabila berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan saat ditimpa musibah… (al-Baqarah [2]: 177)
* Iaitu orang-orang yang menginfakkan (hartanya di jalan Allah), baik di waktu lapang maupun sempit; orang-orang yang dapat menahan amarahnya; dan memaafkan (kesalahan) manusia... ( Ali 'Imran [3]: 134)
* Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang (ciri-cirinya) dia mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya; bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin; berwibawa terhadap orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah; dan tidak takut terhadap celaan orang-orang yang mencela... (al-Maaidah [5]: 54).
* Iaitu mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya; apabila dibacakan kepada mereka ayat- ayat- Nya bertambah imannya dan (hanya) kepada Tuhannya mereka menyerahkan diri. Juga mereka yang mendirikan solat, dan menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya. (al- Anfaal [8]: 2-3).
* Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya; dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia; dan orang-orang yang menunaikan zakat; dan orang-orang menjaga kemaluannya; dan orang-orang yang memelihara amanah dan janjinya; dan orang-orang yang memelihara solatnya… (al-Ma’aarij [70]: 22-34)
-
Post a Comment
Komen Anda