Selamat Hari Raya I'Dul Fitri 1432H Dari Keluarga Restoran Mee Udang D' Tanjung |
Sejak malam Idul Fitri lagi kita sudah patut melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam bagi meraikan hari yang kita muliakan dengan perkara-perkara sunat berikut:
1. Banyakkan bertakbir
Mulakan selepas salam pada solat Maghrib dikuti dengan bertahmid, bertasbih. Takbir boleh dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama-sama keluarga. Pada zaman Rasulullah SAW takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.
2. Berdoa dan Berbuat kebaikan pada malam raya
Imam Syafie berkata doa itu mustajab pada lima malam berikut iaitu malam Jumaat, malam hari raya Idul Fitri, malam hari Raya Idul Adha, malam awal bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.
3. Berqiamulail
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Idul Fitri dan Idul Adha, hatinya tidak mati pada ketika hati mereka yang lain mati.”
4. Jangan berpuasa
Pada siang 1 Syawal, Allah SWT mengharamkan kita berpuasa.
5. Jangan kongsi
Jangan kongsi raya dan jangan menganggap Idul Fitri sama dengan perayaan-perayaan lain.
6. Kemaskan diri
Persiapkan diri dengan bersih dan kemas. Disunatkan mandi pagi. Hal ini dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar bahawa Rasulullah S.A.W mandi pada pagi Idul Fitri sebelum baginda bergerak ke masjid.
7. Sunat Memakai pakaian yang terbaik dan tercantik
Walaupun pakaian tidak baru tetapi sunat mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari perayaan kebesaran Islam. Tetapi jika mampu, tidak salah memakai pakaian yang baru dibeli. Bahkan sunat juga mengenakan haruman di pagi raya (tidak kepada wanita).
8. Menjamah hidangan
Selain itu sebelum berangkat ke masjid eloklah makan terlebih dahulu. Sebuah hadis dari Anas bin Malik telah menjelaskan bahawa baginda SAW makan kurma dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Jangan lupa bermaaf-maafan dengan ahli keluarga dan saudara mara.
9. Laluan berlainan
Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain. Hikmahnya agar bertemu ramai orang. Berkenal-kenalan bagi mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.
10. Mendoakan orang lain
Jangan sekadar ucap Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin sahaja. Ucapkanlah tahniah dan selamat, di samping saling berdoa agar amalan-amalan kita sepanjang Ramadhan lepas diterima Allah SWT.
11. Bermaaf-maafan
Jangan memilih untuk bersalaman. Bersalam dan bermaaf-maafan dengan semua orang. Dalam sepotong hadis, baginda bersabda maksudnya: Harta itu tidak akan luak atau berkurangan akibat sedekah, dan tidaklah bertambah di sisi Allah SWT bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang merendah diri melainkan akan diangkat oleh Allah SWT (Riwayat Muslim)
12. Ziarah-menziarahi
Selepas solat eloklah pergi menziarahi ke rumah-rumah saudara mara dan jiran tetangga yang berhampiran untuk mengeratkan silaturrahim.
13. Bersedekah pemberian duit raya
Ikhlaskan hati bahawa pemberian duit raya kepada kanak-kanak atau orang yang lebih tua adalah sedekah anda kerana Allah SWT. Pemberian duit raya bukan satu kemestian atau budaya berhari raya tetapi jika anda memang menjadikan amalan bersedekah sebelum hari raya lagi dan bukan setahun sekali maka sedekah itu satu ibadat kerana Allah SWT. Sedekah juga tidak terhad pada duit raya sahaja. Apa pun boleh disedekahkan asalkan penuh keikhlasan.
Post a Comment
Komen Anda