Pinky Pramanik |
[SH] KOLKATA, India - Polis India mengesahkan dakwaan ke atas atlet India, Pinky Pramanik, yang dituduh menyamar sebagai perempuan, merogol teman serumahnya. Dia didakwa ekoran aduan dibuat oleh teman serumahnya.
Pihak berkuasa berkata, ujian perubatan mengesahkan jantina atlet itu sebenarnya seorang lelaki seperti yang dilaporkan doktor panel di hospital kerajaan di sini, semalam. Langkah itu diambil selepas dua ujian jantina yang dibuat sebelum ini, yang dijalankan di Hospital Barasat meragukan.
Pinky tetap menegaskan bahawa dia seorang wanita tulen dan mendakwa kes berkenaan merupakan satu konspirasi terhadapnya. Atlet itu ditahan Jun lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin sebulan kemudian.
“Laporan perubatan mengesahkan Pinky merupakan seorang lelaki,” kata polis semasa dakwaan dikemukakan di mahkamah Barasat. Pihak polis turut mendakwa atlet itu turut mengugut dan menipu rakan wanitanya. Peguam Pinky menafikan tuduhan rogol ke atasnya.
Julai lalu, Pinky menyalahkan suntikan hormon yang menyebabkan dia menjadi lebih maskulin. Pinky pernah memenangi emas dalam acara 4x400 meter di Sukan Asia Doha 2006 dan perak dalam acara yang sama pada tahun 2006 di sukan Komenwel Melbourne. Dia juga pernah merangkul tiga pingat emas pada sukan South Asian Federation (SAF) dalam acara 400 meter, 800 meter dan 4x400 meter, enam tahun lalu.
Post a Comment
Komen Anda