Baju gamis Nabi SAW yang lusuh dan robek-robek. Betapa sederhananya baju pemimpin dunia yang suci nan agung (sumber) |
'اذْهَبُواْ بِقَمِيصِي هَـذَا فَأَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيرًا'
“pergilah kamu semua (wahai saudaraku) dengan membawa pakaianku ini, usapkanlahnya di wajah bapaku (yakni Nabi Ya’kub ‘alaihissalam) nescaya akan kembali penglihatannya”
Ketahuilah bahawasanya para sahabat ridhwanullahi ‘alaihim bertabarruk dengan peninggalan Nabi Muhammad ﷺ seperti rambut, jubah, kuku, serban, pedang, kasut, dan sebagainya sewaktu Baginda ﷺ masih hidup dan begitu juga selepas kewafatan Baginda ﷺ, dan begitu juga seterusnya orang-orang Islam selepas zaman sahabat, mereka bertabarruk sehingga kini dan amalan ini diharuskan berdasarkan kepada perbuatan Nabi Muhammad ﷺ yang telah membahagi-bahagikan rambut Baginda ﷺ yang telah dicukur sewaktu Haji Wida’.
Imam Bukhari dan Imam Muslim telah meriwayatkan bahawa Baginda ﷺ membahagi-bahagikan rambutnya kepada para sahabat ridhwanullahi ‘alaihim adalah untuk diambil berkat darinya, bukanlah untuk dimakan kerana rambut bukanlah untuk dimakan, adapun jua untuk diambil memohon syafaat Baginda ﷺ kepada Allah Ta’ala dan mendekatkan diri kepada-Nya (yakni berbuat ketaatan kepada-Nya), dibahagi-bahagikan rambut itu adalah supaya keberkatan Baginda ﷺ sentiasa bersama-sama mereka dan sebagai memori kepada mereka. Sebahagian sahabat mengambil sehelai, manakala sebahagian mereka itu mengambil dua helai, dan tidaklah Nabi Muhammad ﷺ membahagi-bahagikannya melainkan untuk diambil berkat daripada rambut tersebut sama ada sewaktu hidup atau selepas kewafatan Baginda ﷺ. Sehinggakan SAHABAT MENCELUPKAN RAMBUT TERSEBUT KE DALAM AIR dan sebahagian mereka yang ditimpa penyakit meminumnya (untuk merawat penyakit) dengan keberkatan Baginda.
Telah diriwayatkan oleh al-Hafizh al-Baihaqiy dalam kitabnya Dalail al-Nubuwwah, begitu juga al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak dan ulama selainnya bahawa Khalid ibn al-Walid telah kehilangan kopiahnya (topi ketayap) sewaktu peperangan Yarmuk, lalu beliau mengarahkan askar-askarnya untuk mencari kopiah tersebut seraya berkata: “Carilah kopiah tersebut!” maka askar-askarnya mencari dan kopiah tersebut tidak ditemui, kemudian disuruh sekali lagi sehingga akhirnya mereka menemui kopiah tersebut. Kata Khalid: “Rasulullah ﷺ telah melakukan Umrah dan telah mencukur rambutnya maka dibahagi-bahagikan, maka aku peroleh darinya, aku letakkan ianya dalam kopiahku, aku BERSAKSI BAHAWA TIADA PERANG YANG AKU PERGI DENGAN MEMAKAI KOPIAH ITU MELAINKAN PEPERANGAN TERSEBUT DIMENANGI (dengan keberkatan Rambut Nabi ﷺ) Kisah diriwayatkan oleh Imam Al-Bushiri, Imam Abu Yaa’la dengan Sanad Sahih, Imam Al-Hafizh Al-Haithami, Imam At-Tabrani, juga diriwayatkan oleh Az-Zahabi dalam Siyar A’laam An-Nubalaa’, juga diriwayatkan oleh Al-Hafizh Ibn Hajr dalam kitab Al-Matholib Al-‘Aliyah.
Juga telah diriwayatkan Imam Muslim dari Abdullah, bahawasanya para sahabat bertabarruk dengan Jubah Rasulullah ﷺ yang pernah berada dalam simpanan Saidatina Aisyah, kemudian berpindah tangan kepada Asmaa’ binti Abu Bakr, apa bila ditunjukkan kepada sahabat-sahabat Rasulullah ﷺ, mereka lalu MEMBASUH MENGAMBIL AIRNYA untuk dijadikan PENAWAR BAGI KAMI KETIKA KAMI SAKIT.
Juga telah diriwayatkan Imam Muslim dalam Sohihnya daripada Anas bin Malik, katanya bahawa Nabi ﷺ masuk ke dalam rumah Ummu Sulaim dan tidur atas katilnya (Ketika ketiadaan Ummu Sulaim), lalu dikhabarkan kepada Ummu Sulaim bahawa Nabi ﷺ tidur di rumahnya atas katilnya, lalu Ummu Sulaim pulang ke rumahnya dan mendapati Nabi ﷺ berpeluh ketika tidur, maka diambil peluh itu dan dibotolkan (Peluh Baginda ﷺ sangat wangi), tiba-tiba Nabi tersedar lalu bertanya “apakah yang kau lakukan wahai Ummu Sulaim?” kata Ummu Sulaim “Wahai Rasulullah! Kami mengharapkan KEBERKATAN INI DARIPADA PELUH TADI UNTUK ANAK-ANAK KAMI” Kata Nabi “Engkau benar”
Telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan lain-lain dari ‘Atban bin Malik dan beliau itu ketua kaumnya dan beliau buta, dan beliau berkata kepada Nabi ﷺ, “Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya penglihatanku ini gelap, dan aku adalah lelaki yang buta, Solatlah di musolla dalam rumahku ini. Maka datanglah Rasulullah ﷺ dan bertanya “di mana kamu suka untuk aku melakukan solat (yakni dalam rumahmu)?” maka diberitahu kepada Rasulullah ﷺ di mana, dan Rasulullah ﷺ lalu bersolat di tempat tersebut (supaya berkat tempat itu). Kata Al-Hafizh Ibn Hajr dalam Fathul Bari “bahawasanya kisah ini adalah hujah mengambil berkat dengan kesan dari orang-orang soleh”. Juga disebut dalam Sahih Al-Bukhari bahawa Abdullah ibn Umar sering mencari dan mengerjakan solat di tempat yang pernah Rasulullah ﷺ melakukan solat, kata Imam Az-Zabidi dalam Kitab Al-Ithaf Al-Sadah Al-Muttaqin “ini kerana Ibn Umar solat di tempat-tempat yang pernah Nabi solat adalah untuk mengambil berkat”
Imam Bukhari juga meriwayatkan dengan sanad dari Urwah bin Al-Miswar bahawa para sahabat akan bertelingkah berebut-berebut untuk mengambil Wudhu Rasulullah ﷺ. Juga telah diriwayatkan dari Asmaa’ binti Abu Bakr bahawa Rasulullah ﷺ mengarah Abdullah ibn Zubair untuk membuang darah bekam Baginda ﷺ di tempat yang tidak boleh dilihat orang, lalu Zubair telah meminum darah bekam Rasulullah ﷺ, maka Jibril memberitahu kepada Rasulullah ﷺ dan apabila Zubair kembali, Rasulullah ﷺ bertanya pada beliau “Apa yang kau lakukan” jawab Zubair “Aku tidak sanggup untuk membuang darah engkau ke bumi, maka aku meminumnya” Kata Rasulullah ﷺ “Kamu tidak akan dibakar Neraka, lalu diusap kepalanya”. Para sahabat menyaksikan bahawa Abdullah ibn Zubair mempunyai kekuatan yang luar biasa selepas meminum darah Baginda ﷺ.
Khalifah Umar ibn Abdul Aziz sewaktu menjelang kewafatan beliau, beliau mengarahkan supaya diambil rambut dan kuku Rasulullah ﷺ yang disimpan oleh beliau, lalu berkata “Sekiranya aku mati, maka ambillah sedikit rambut dan kuku Rasulullah ﷺ dan letakkan dalam kafanku”. Kata Imam Nawawi pada Hadis dan kisah mengambil keberkatan “Ini adalah pada mengambil Tabarruk (keberkatan) Rasulullah ﷺ sama ada yang disentuh Baginda ﷺ, atau yang dipakai Baginda ﷺ, atau pernah bersama Baginda ﷺ, dan ini adalah perkara yang DIIJMAKKAN dan sepakat Salaf dan Khalaf pada perbuatan mengambil berkat ini dengan solat di tempat yang Nabi ﷺ pernah solat di Raudhah, atau masuk ke dalam gua yang pernah dimasuki Nabi ﷺ, atau selainnya. Dan ini juga termasuk pada perbuatan Baginda ﷺ yang mengarahkan Abu Talhah untuk membahagi-bahagikan RAMBUT BAGINDA ﷺ, dan pelepah tamar yang dipacak oleh Baginda ﷺ atas kubur, dan perbuatan mengumpul peluh Nabi ﷺ, dan menyapu air wudhu Nabi, dan perbuatan-perbuatan lain yang masyhur yang diceritakan dalam Sahih (Sahih Muslim), dan ini adalah JELAS TIADA SYAK TERHADAPNYA”
nota :
bukan rambut itu yang bagi sembuh kalau orang minum air celupan dengan rambut nabi ﷺ, tapi Allah lah yang bagi kesembuhan dan kita bertabarruk (mengambil berkat) dengan athar (kesan peninggalan) nabi ﷺ sebab ia adalah merupakan juzuk dari makhluk yang paling mulia yang diciptakan Allah, dan perkara yang pernah berada pada anggota sebaik-baik makhluk Allah
Post a Comment
Komen Anda