من الأيات القرآن الكريمة
Jom Dengar Al Quran
MaCaM MaCaM BloG

Dapatkan animasi di Sini
KAMI RINDUKANMU, KEKASIH ALLAH YA RASULULLAH

Jom Ikut Mee Udang....

Thursday, February 3, 2011

Muamalat : Pergi ke bank riba kerana permohonan di bank Islam ditolak



[HM] INI mungkin satu lagi rungutan umat Islam diMalaysia. Mereka berhujah mengatakan permohonan untuk mendapatkan pembiayaan rumah, kereta atau kad kredit Islam ditolak bank Islam, lalu ia dijadikan asbab mengapa Muslim kurang di bank Islam dan lebih ramai di bank riba.

Hal ini pernah saya ulas sebelum ini. Boleh merujuk kepada artikel yang saya sertakan ‘link’nya di bawah untuk mengetahui sama ada sudah sampai tahap darurat untuk seorang Muslim bersenang-senang di bank riba atau ia hanya darurat dan hajiat palsu yang bertunjangkan nafsu dunia sebenarnya.

Artikel: Wajarkah Bank Islam Tolak Permohonan? Kesimpulannya, jika bank Islam menolak sesuatu permohonan, ini bermakna; menurut kiraan berwibawa mereka, kemampuan kewangan anda masih tidak melayakkan anda untuk membuat hutang jenis besar dan berat. 


Jika anda masih degil lalu pergi juga ke bank riba dan kemudian diluluskan, sebenarnya anda memerangkap diri sendiri dan bakal menghadapi kesukaran berganda kerana jumlah faedah dikenakan bank riba kepada mereka yang tiada kelayakan kukuh, pasti menenggelamkan anda kelak.

Falsafah bank di seluruh dunia, lebih kaya dan stabil kewangan anda, lebih murah kadar yang bakal anda peroleh, demikian sebaliknya.

Jika anda katakan: “Saya ingin beli hanya aset asas dalam kehidupan saya, iaitu kereta atau rumah.”

Jawabnya: Menurut kiraan individu berkelayakan di bank berbekalkan formula khas di bank Islam, mendapati satu daripada keputusan berikut:

a) Anda belum layak untuk terbabit dalam hutang. Oleh itu, tangguh dulu untuk terbabit dengan sebarang bank. Cukup dengan menaiki kenderaan awam dan menyewa rumah buat sementara belum ada kemampuan. Atau usahakan cara sesuai tetapi jangan berhutang.

Jika berdegil, anda sebenarnya membuka peluang besar untuk jatuh dalam dosa lain akibat gagal menyelesaikan hutang. Dosa yang berkait rapat dengan orang berhutang seperti menipu dan memalsukan janji begitu biasa bagi mereka yang terperangkap dalam hutang. Malah Nabi SAW juga memberi amaran berkenaannya.

b) Anda memang layak pada asalnya tetapi akibat hutang di bank sedia ada, kelayakan anda terhakis pada waktu itu. Anda perlu faham kemampuan membayar hutang sedia ada melebihi hak kemampuan anda.

Hasil daripada itu, bank Islam menolak permohonan anda demi kebaikan anda, bukan kerana sengaja enggan menolong anda. Atas asbab itu juga sudah saya tuliskan sebelum ini supaya jangan biarkan rekod anda merah di mana-mana bank kerana ia juga boleh menyebabkan permohonan anda ditolak.


Tolak bank Islam kerana bank riba lebih mudah urusannya

Jika sebabnya ialah sebagaimana dinyatakan di atas atau apa juga sebab seumpamanya, seperti cawangannya lebih banyak, mesin juruwang bank berkenaan meluas, mempunyai perbankan Internet, perjanjian kontraknya lebih mudah dan cepat dan servisnya lebih efisien.

Sekali lagi, jika demikianlah sebab musababnya, ternyatalah begitu murah dan mudah iman individu ini untuk dijual dibeli dengan harta serta kemudahan dunia. Rapuh sekali keyakinannya terhadap dosa riba yang maha besar, sebesar pengisytiharan perang terhadap Allah dan Rasul-Nya, berzina sebanyak 36 kali dan kehilangan berkat dalam hidup.

Saya tidak nafikan kelemahan perkhidmatan, kelembapan dan sebagainya memang wujud di kalangan bank Islam di Malaysia khususnya, namun kelemahan sebegini tidak mampu menjadi pelepas azab pedih Allah di barzakh dan akhirat tentunya. Juga tidak boleh dijadikan alasan untuk melarikan diri daripada perbankan Islam.

Lihat saja betapa peritnya perjuangan Nabi SAW dan sahabat serta ulama salafus soleh di kurun awal dulu. Adakah kesukaran dijadikan alasan untuk tidak berjuang menegakkan kalimah Islam di muka bumi?


Tolak bank Islam kerana kakitangannya seksi

Saya juga mendengar ada individu menolak dan mengutuk sesebuah bank Islam hanya kerana kakitangannya berpakaian seksi, buka aurat dan tidak kelihatan seperti Islam. Adakah layak sebuah bank Islam membiarkan kakitangannya sedemikian?
“Amat buruk lagi memalukan nama Islam,” demikian cebik seorang ustaz di sebuah masjid.

Tentu saya juga sentiasa menyokong dan berharap bank Islam di Malaysia khususnya, dapat mengenakan disiplin kod berpakaian yang menepati Islam terhadap kakitangan wanitanya.

Namun, selain melihat pelaksanaan ideal dan terbaik, kita perlu meninjau ehwal semasa dan praktikaliti. Hakikatnya, pengurusan bank Islam dalam banyak keadaan terpaksa memilih sama ada mendapatkan kakitangan yang baik pakaiannya atau yang dinamik dan berilmu.

Perlu diingat, tidak semua urusan teknikal di bank memerlukan seseorang yang memiliki ilmu Islam secara khusus, banyak bahagian memerlukan ilmu teknikal lain seperti audit,perundangan ,teknologi maklumat dan strategi pemasaran. Individu dengan kepakaran ini biasanya tidak mempunyai ilmu Islam yang baik, malah ramai juga daripada kalangan bukan Islam.

Hasilnya, di waktu ilmu perbankan dan kewangan Islam masih kekurangan tenaga kerja dan ‘human asset’,ternyata sesebuah bank Islam sukar mendapatkan mereka yang baik pakaiannya serta cemerlang kerja dan pengetahuannya.

Tatkala itu bertembung dua kepentingan, iaitu memilih yang baik pakaiannya dengan kemampuan kerja yang kurang atau yang baik dan cemerlang dalam bekerja tetapi penampilan pakaian tidak baik. Yang manakah perlu diambil bekerja?

Bagaimana dengan anda? Perlu diingat, tidak semua jawatan boleh ditunjuk ajar. Ada sebahagian jawatan tinggi seperti pengarah urusan, naib presiden, pengarah, ketua pegawai operasi, ketua pegawai eksekutif dan naib presiden kanan, dan jika jawatannya sekadar eksekutif, ia mungkin boleh bertoleransi dengan mengambil yang kurang kualiti tetapi berpakaian baik dan dilatih kemudiannya.

Kemudian, adakah tepat bagi pengurusan memaksa kakitangan wanita, termasuk bukan Islam, menutup aurat di pejabat? Mungkin kita boleh mengangguk kepala sambil mengatakan: “Ya, memang wajar sekali, baru digelar pengurusan Islam!”

Namun, sedarkah kita, tindakan sedemikian pasti membuatkan individu bukan Muslim yang pakar enggan memohon bekerja di bank Islam sedemikian.

Tanpa merit dan kualiti, sebuah bank Islam akan hilang wibawa,kemampuan dan keberkesanan , manakala pengurusan juga pasti jatuh hingga akhirnya, imej Islam turut jatuh merudum.Mungkin ada yang terfikir, jika kakitangan kita bertakwa, Allah akan gandakan keuntungan. Yakinlah.

Ya, benar tetapi keperluan meningkatkan kualiti dalam usaha dan hukum alam (iaitu kualiti akan berjaya, mereka yang tidak berkualiti akan jatuh) juga adalah perintah Allah dan ajaran Islam.

Lihat bagaimana nama Islam tercalar apabila dua bank Islam di Malaysia mencatat kerugian beberapa ratus juta beberapa tahun lalu. Kita bimbang sistem dan produk kewangan Islam akan dipersalahkan dan dilihat tidak sesuai untuk dunia perbankan, hasilnya akan berkurangan permintaan, padahal masalah kerugian sesebuah bank Islam bukan salah produk dan Islam tetapi kualiti dan kecekapan individu yang bekerja.

Jika memahami hal ini, manakah maslahat yang lebih besar patut dijaga oleh sesebuah bank Islam dalam pengambilan pekerjanya? Pakaian menutup aurat bagi setiap wanita yang memohon atau kualiti ilmu bagi jawatan dimohon?

Ya, kedua-duanya penting, namun mana lebih penting? Taqdim al-aham ‘alal muhim dan juga kaedah:

Ertinya: Mengambil mudarat yang lebih kecil.

Kaedah yang difahami ulama Islam daripada firman Allah SWT:

Ertinya: Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya. (Al-Baqarah: 219)

Akhirnya, menjadi kewajipan kita sebagai Muslim untuk melanggan bank Islam dan segala jenis produk kewangan Islam. Jadikan keperluan ini didasari oleh iman dan takwa. Letakkan faktor halal sebagai asas penilaian dan bukan hanya harga dan kadar.

Lebih malang, kerana ramai individu tiada kefahaman dalam kiraan bank riba yang disangkanya murah. Sedarlah hakikatnya. ustaz Zaharuddin

Post a Comment

Komen Anda

Berita Semasa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...