Jawapan:
Persoalan timbul di sini ialah jika sekiranya hari raya Aidil Fitri jatuh pada hari Jumaat, apakah status solat jumaat masih wajib atau ia gugur kerana berlaku dua perayaan dalam satu hari.
Sebenarnya perkara ini adalah masalah khilaf dan telah dibincangkan oleh ulama semenjak ratusan tahun yang lalu. Ringkasnya, berdasar hadis-hadis dan pemahaman ulama dalam mengistinbat hukum syarak, maka lahirlah pandangan-pandangan seperti berikut:
1) Mazhab Hanafi: Solat Jumaat wajib ditunaikan. Solat sunat hari raya tidak menggugurkan kewajiban solat Jumaat.
2) Mazhab Maliki: Solat Jumaat wajib ditunaikan. Solat sunat hari raya tidak menggugurkan kewajiban solat Jumaat.
3) Mazhab Shafie': Wajib menunaikan solat Jumat bagi penduduk kampung
yang bermastautin dan gugur tuntutan tersebut bagi penduduk dari kampung
yang berlainan. Pandangan ini merupakan pandangan Imam Shafie' yang
sahih.
4) Mazhab Hambali: Tidak wajib solat Jumaat samada penduduk
tetap atau tidak. Kewajiban solat Jumaat gugur selepas mendirikan solat
sunat hari raya tetapi wajib solat zohor.
Bagi kita di Malaysia saya cenderung supaya kita mengikut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor seperti berikut:
"Alhamdulillah Fatwanya:
Pada hari itu ( Aidilfitri dan Aidiladha jatuh pada hari Jumaat ) kewajipan menunaikan solat fardu Jumaat diwajibkan ke atas lelaki muslim yang bermastautin dan ahli Qariyah setempat.
Adapun orang yang bukan ahli Qariyah setempat yang ingin pulang menziarahi ahli keluarganya, dizinkan dia pulang untuk tujuan berziarah dan kembali semula mereka itu untuk mendirikan solat fardu Jumaat, jika dia berkuasa berbuat demikian. Adapun jika tiada berkuasa berbuat demikian ( hadir semula ke masjid untuk menunaikan solat fardu Jumaat ) maka tiada berdosa. Tetapi adalah lebih baik jika mereka yang terlebih agar menunaikan selepas solat Aidilfitri sehingga selesai solat fardu Jumaat.
Adapun mereka yang di bolehkan meninggalkan solat Fardu Jumaat adalah beberapa golongan :
1) Kaum wanita
2) Lelaki yang bermusafir
3) Hamba
4) Lelaki yang sakit ( uzur syar"ie )
Solat fardu Jumaat adalah merupakan satu syiar daripada syiar-syiar
Agama Islam yang perlu dijaga dan dilaksanakan. Berjamaah di dalam
menunaikan solat fardu Jumaat adalah wajib fardu ain ( yang dikehendaki
dilaksanakan oleh setiap muslim yang cukup syarat-syaratnya berbuat
demikian ).
Islam sentiasa memberi perhatian terhadap perpaduan dan kesatuan di kalangan umat Islam dan melarang sama sekali wujudnya punca-punca yang mengakibatkan perselisihan faham dan perbezaan pendapat yang akhirnya membawa kesan negatif kepada penduduk setempat".
Sebagai kesimpulan, permasalah ini berlaku khilaf ulama. Adalah wajar dalam beramal dalam masalah khilaf yang menyentuh pandangan orang ramai agar dapat mengelak daripada berlaku perbezaan dan perselisihan yang tidak sihat. Apalagi masyarakat Islam di Malaysia masih ramai yang jahil dan sifat keterbukaan mereka masih di tahap yang rendah.
Sekian والله أعلم بالصواب
Post a Comment
Komen Anda