[fb] Saya ada sebuah kisah yang mahu dikongsikan dengan semua. Mari baca, semoga timbul insaf dalam diri ini. Pernah, saya menyertai satu operasi di Muar, dan kami bertolak dari
Johor Bahru kira-kira jam 10 malam dan operasi selesai jam 6 pagi. Kami
terus pulang ke Johor Bahru. Sepanjang perjalanan, saya yang memandu
sendiri berhenti hampir tujuh kali kerana terlalu mengantuk.
Pulang ke Johor Bahru, biar bantal memanggil, terpaksa diketepikan.
Perlu disiapkan berita yang operasi itu untuk siaran berita tengahari.
Bukan mudah. Selesai segalanya, jam sudah hampir 11 pagi. Jam dua pula
ada satu lagi tugasan. Begitulah kehidupan. Kais pagi makan petang, jika
tak dikais, memang tak makanlah.
Saya lebih cenderung kepada
kisah human interest seperti satu operasi yang saya ikuti bersama
sahabat sahabat baik di Cawangan Trafik Johor Bahru Selatan yang
bersengkang mata tanpa mengira masa membanteras kegiatan lumba haram.
Antaranya termasuk kisah seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang
pada mulanya begitu yakin memberi jawapan kepada pegawai serta anggota
polis trafik, dia dibenarkan menunggang motosikal oleh bapanya, yang
juga pemilik kenderaan itu.
Sebagaimana lazim, pegawai polis
bertugas menghubungi ibubapa pelajar itu dan selepas menanti hampir dua
jam, akhirnya muncul ibubapanya di tepi jalan Danga Bay.
Dari
jauh, tampak si ibu bagai meluru tak sabar sabar untuk tiba ke tempat
anak lelakinya berdiri.Si ayah pula berjalan lesu. Waktu tika itu hampir
jam empat pagi.
Sebaik tiba di depan anaknya, tanpa lengah si
ibu bagai melepas geram terus mencubit dan menampar badan anaknya. Kami
terpinga pinga melihatkan situasi itu lantas beberapa anggota polis
trafik meredakan keadaan.
Terkedu anaknya yang dua jam lalu,
beriya-iya mendakwa ibubapanya sudah memberi keizinan untuk dia
menunggang motosikal milik bapanya dan turut dibonceng rakan sekampung
berusia 16 tahun.
Ketika cuba ditahan, dia melarikan diri dari
sekatan jalanraya dan turut menendang motosikal anggota penguatkuasa
yang mengejar mereka!
"Masuk lokap jek encik. Masuk sekolah
jahat Henry Gurney. Tak apa, saya rela," tercetus akhirnya luahan hati
si ibu sebaik diredakan.
"Aku tak boleh kawal kau lagi. Kat
sekolah kau anak murid aku, kat luar aku tak boleh kawal kau seorang.
Selama ini kau cakap tak goyang, tak goyang, tengok semua polis ni,
tengok.
"Kalau dahi ni tak sujud pada sejadah, inilah
jadinya," berterusan si ibu melepaskan geram bagai sebuah drama realiti
di depan hampir 50 pegawai dan anggota polis serta anggota Rela yang
turut bersama-sama dalam operasi itu.
Suasana menjadi sunyi dan
hanya kedengaran suara si ibu. Semua memerhati. Semua bagai menyokong
tindakan si ibu. Mat mat rempit lain yang ditahan sebelum ini sibuk
berbual sesama sendiri turut kaku melihat adegan itu. Mungkin timbul
keinsafan dalam diri mereka?
"Dia cakap, ibu keluar, saya cakap
malam minggu jangan keluar. jangan, jangan. Tak tengok kat TV (orang
kena tangkap)," luah si ibu dan suaranya beriring nada kekesalan.
"Bila kita marah, dia cakap nak rompak rumah orang. Tak kurang ajar
punya anak? Sampai hati kau jadi anak macam ni. Budak sekolah pukul 10
duduk rumah," kata si ibu lagi dan kali ini nada sudah berselang
kesedihan.
Tatkala itu, sudah mula mengalir airmata si ibu. Si
anak hanya tunduk kaku, tak seperti tika selepas ditahan dua jam
sebelum itu, ceria, beriya iya.
Si ayah tak mampu nak berkata
kata. Mungkin sudah puas dileteri anaknya itu. Mungkin sudah kering
airmata si ayah memikirkan kedegilan anaknya tika dia keluar mencari
rezeki buat kesemua anaknya.
Bagi meredakan keadaan, seorang pegawai polis, Inspektor (kini ASP) Mohd Lail Ab Halim mencelah.
"Kami akan charge (tuduh) dia lari dari sekatan jalan," kata Mohd Lail tegas.
Mungkin mendengar penjelasan ringkas Mohd Lail itu, tercetus luahan si ibu lagi.
"Kat rumah berapa kali dia nak tumbuk saya. Sekarang ni apa? Aku ni mak
kau. Hari-hari aku doa, Ya Allah jadikanlah anak aku golongan yang
baik-baik. Tapi kau apa? Ibu mampus, ibu mampus."
Ketika ini,
si ibu mencucuk cucuk perut si anak. Hilang segala kehebatan si anak.
Akhirnya ibubapa juga yang datang. Biar marah, kesemua yang menyaksikan
bagai mengerti, dia tetap anaknya. Dia tetap darah dagingnya. Mungkin
sudah kemuncak kemarahan si ibu.
"Nanti puan datang ke balai trafik untuk jamin anak makcik," jelas Mohd Lail lagi.
Sambil menjeling marah ke arah anaknya, si ibu dengan cepat menjawab:
"Jamin kau? No, no. Ibu tak akan jamin kau, tak ada tak ada," katanya
bagai puas, biar malam itu menjadi pengajaran buat si anak yang degil
itu.
Si ibu berlalu pergi.
Lantas, Mohd Lail
mengarahkan anak buahnya untuk membawa pelajar itu ke balai. Tak sempat
dibawa, pelajar itu meraung raung menangis mengejar ibunya.
Sekali lagi kami kaget. Si ibu tak memperdulikan. Kami yang melihat
bagai menyokong tindakan si ibu. Biarkan dia rasa. Biar dia serik.
Biarkan. Itulah kata hati kami. Kami pun marah. Apatah lagi mendengar
luahan hati si ibu di pagi yang bening itu.
Berterusan suara si
anak merintih pada ibunya. Semakin jelas suaranya. Si ibu berhenti.
Dibiarkan anaknya menangis, meraung di depannya. Direnungnya anaknya
itu.
Siapa tak sayang anak. Tentu wanita itu ibu yang baik.
Apatah lagi sebagai seorang guru, sifat penyayang tinggi dalam diri
mereka. Tampak wajah amarah si ibu sudah bertukar menjadi simpati dan
penuh kasih sayang, tatkala si anak menarik narik tangan yang sama
mengendong dia ketika kecil, memimpinnya ketika melintas jalan, menepuk
nepuk tika mahu tidur.
Akhirnya si ibu mengalah. Dipimpin tangan anaknya ke kenderaan polis. Berdiri kaku si ibu melihat si anaknya di bawa pergi.
Selepas segala proses selesai, saya terserempak dengan si ibu berjalan
keluar dari balai beriring dengan bapa pelajar itu. Dan di sebelahnya,
anaknya tadi, tangan dipimpin erat, kuat kuat bagai tak mahu melepaskan
anaknya itu.
Saya sempat bertegur. Menasihat si anak, jika tak
kesian pada diri sendiri, kesianlah pada mak ayah. Kesian mereka
berhempas pulas membesarkan awak. Esok awak dah kahwin, awak nak anak
awak macam awak?
Tertunduk diam si pelajar itu. Saya tepuk
bahunya beberapa kali dan sempat berkata padanya, awak mesti anak yang
baik sebab tu awak menangis minta maaf pada mak tadi. Dan sempat saya
mengucapkan terima kasih kepada si ibu dan ayah kerana tak putus asa
dengan kasih sayang pada si anak yang degil ini. Tersenyum si ayah.
Bagai mereda hati si ibu.
Itulah antara kisah kisah kecil yang
mahu saya jadikan iktibar untuk kita semua. Kongsilah dengan sesiapa,
pada anak anak, pada anak saudara atau mungkin pada diri sendiri. Jahat
mana sekalipun, ibu ayah tetap bersengkang mata buat anak-anak. Biar
sakit lutut, biar membuai diri dek tak lena tidur, demi anak!
Kreadit : media santai
-
Post a Comment
Komen Anda